WACANA TEKSTUAL LAPORAN POLIS KES KEMALANGAN JALAN RAYA
Main article
Abstract
Kajian ini memfokuskan kepada wacana tekstual dalam laporan polis kes kemalangan jalan raya di negeri Selangor. Kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti dan membincangkan wacana tekstual dalam laporan polis kes kemalangan jalan raya di negeri Selangor. Reka bentuk kajian ini adalah kaedah kualitatif penerokaan yang mengaplikasikan instrument kajian iaitu analisis kandungan dokumen. Analisis kandungan dokumen digunakan dalam kajian ini disebabkan oleh laporan polis merupakan satu laporan yang bertulis dan analisis kandungan setiap teks perlu dilakukan bagi mengenalpasti wacana tekstual yang terkandung dalam laporan polis yang dikaji. Laporan polis kes kemalangan jalan raya dipilih sebagai sumber data kajian disebabkan oleh laporan polis merupakan satu dokumen rasmi yang mengandungi teks penulisan pengadu dalam membuat aduan. Sebanyak 20 salinan laporan polis yang berkaitan dengan kes kemalangan jalan raya di negeri Selangor pada tahun 2014 diperoleh dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (JSPT). Selain itu, pemilihan data ini juga disebabkan perkara yang terkandung laporan polis seperti isi laporan adalah merupakan penulisan pengadu sendiri tanpa ubah suai daripada pegawai polis yang menerima aduan tersebut, oleh itu analisis wacana tekstual sangat relevan untuk dilakukan. Laporan polis kemalangan jalan raya yang dikumpulkan kemudiannya dianalisis dengan menggunakan pendekatan analisis wacana kritis yang dicadangkan oleh Model Tiga Dimensi Fairclough (1995). Hasil kajian telah menunjukkan bahawa dimensi tekstual sangat mempengaruhi laporan polis kes kemalangan jalan raya sama ada daripada aspek kosa kata, leksikal mahupun kohesi. Dimensi wacana tekstual dapat menyampaikan maklumat dengan baik kepada pengguna dan menarik perhatian dengan kata yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, wacana tekstual merupakan salah satu aspek yang sangat penting yang harus digunakan oleh masyarakat dalam penulisan laporan polis kes kemalangan jalan raya.
