WACANA KOHESI TEKS DIGITAL KHUTBAH MAULUD NABI
Main article
Abstract
Kajian ini bertumpu kepada kajian tentang wacana kohesi teks digital khutbah Maulud Nabi pada tahun 2016, 2017 dan 2018 dalam portal Jakim. Seterusnya, objektif pertama kajian ini ialah mengenal pasti kohesi dalam wacana teks digital khutbah Maulud Nabi. Objektif kedua pula, nmembincangkan andaian teks digital khutbah Maulud Nabi terhadap masyarakat. Kajian ini dilakukan melalui perkataan dan andaian konteks ayat yang dilihat dalam teks khutbah tersebut. Dalam konteks Islam, wacana Maulud Nabi merupakan salah satu isu yang menjadi polemik keIslaman dalam masyarakat yang sering disebut-sebutkan bagi mengingati kelahiran Nabi. Hal ini juga menjadi faktor pengkaji dalam melakukan penelitian terhadapnya. Namun begitu, kajian yang menggunakan teks khutbah sebagai sumber utama masih belum dikaji oleh para penyelidik. Kajian ini menggunakan kaedah pendekatan iaitu analisis wacana oleh Normaliza Abd Rahim (2019). Setelah itu, analisis teks yang dihasilkan melalui pendekatan ini, dianalisis dengan melihat kepada kohesi gramatikal dan leksikal serta andaian dalam teks khutbah Maulud Nabi. Dalam pendekatan ini, wacana Maulud Nabi bukan hanya dillihat kepada kohesi dan konteks ayat sahaja, namun diteruskan pada aspek andaian untuk menganalisis kesan wacana teks khutbah Maulud Nabi kepada masyarakat. Oleh itu, metodologi kajian ini adalah dengan menggunakan kaedah kualitatif. Pengkaji hanya menumpukan sepenuhnya kepada teks digital Maulud Nabi dengan meneliti penggunaan bahasa dan ayat dalam wacana teks khutbah dan seterusnya menganalisis teks berikut. Secara umum, kajian ini menjelaskan sejauh mana teks digital khutbah memberikan kefahaman wacana dengan jelas kepada pembaca.
