PENUKARAN KOD DALAM SURI HATI MR. PILOT: KUPASAN MOTIF
Main article
Abstract
Majoriti Rakyat Malaysia mampu bertutur dalam sekurang-kurangnya dua bahasa maka, penukaran kod antara bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Malaysia, dan bahasa Inggeris, dilihat telah bertapak dan menjadi fitur wacana harian, terutama dalam kalangan masyarakat bandar. Dengan mengambil kira latar belakang interlokutor yang berbeza, adab dan motif penggunaan penukaran kod adalah berbeza menurut penutur. Sitkom Melayu dilihat menawarkan banyak sumber maklumat mengenai corak ucapan masyarakat bandar, terutamanya mengenai penggunaan penukaran kod. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan penggunaan penukaran kod dalam sitkom generik Suri Hati Mr. Pilot dengan mengadaptasikan klasifikasi oleh
Holmes (2008). Kajian ini menggunakan 2 episod penuh daripada 16 episod secara keseluruhannya untuk transkripsi data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penukaran kod digunakan pada kata ganti nama, untuk menekankan sesuatu hujah atau pendapat dan untuk memudahkan bicara. Dapatan juga menunjukkan penukaran kod digunakan sebagai usaha akomodasi kepada pendengar, mewujudkan ikatan dalam hubungan dan sebagai panggilan mesra kepada seseorang. Daripada dapatan kajian, dapat disimpulkan walaupun Suri Hati Mr. Pilot adalah fiksyen, penukaran kod yang digambarkan berlaku dengan lancar mencerminkan wacana masyarakat bandar di Malaysia yang sebenar. Oleh itu, kajian akan datang diharapkan akan meneroka dengan lebih mendalam tentang aspek penukaran kod dalam media dan melihat wacana penukaran kod ini dari perspektif yang berbeza.
